Ciptaan dan penampilan sulung Mickey_Mouse

Mickey direka sebagai pengganti Oswald the Lucky Rabbit, bintang terdahulu yang dicipta oleh studio Disney untuk Charles Mintz dari Universal Studios. Sebenarnya, wajah Mickey sewaktu penampilan pertamanya banyak menyerupai Oswald. Apabila Disney meminta Mintz untuk belanjawan yang lebih bagi siri Oswald, Mintz mengumumkan bahawa beliau telah mengupah kebanyakan pekerja Disney tetapi Disney boleh meneruskan siri Oswald selagi beliau bersetuju dengan potongan belanjawan itu dan membayarnya. Mintz memiliki Oswald dan menyangka beliau telah mengambil kesempatan terhadap Disney. Ini memarahkan Disney yang kemudiannya menolak tawaran tersebut lalu kembali ke California untuk menerbitkan kartun-kartun terakhir Oswald yang dihutangkan kepada Mintz mengikut kontrak antara mereka. Disney terkilan oleh pengkhianatan pekerja-pekerja beliau namun tekad untuk memulakan kerjayanya semula. Studio Disney yang baru dahulunya merangkumi animator Ub Iwerks dan seorang perantis yang setia, Les Clark. Sat pengajaran yang dipelajari Disney daripada pengalaman ini adalah untuk senantiasa memastikan bahawa beliau memiliki semua hak milik terhadap watak-watak yang diterbitkan oleh syarikatnya.

"Kami berasa bahawa orang ramai, khususnya kanak-kanak, menyukai haiwan yang comel dan kecil. Saya rasa kami banyak berhutang kepada Charlie Chaplin untuk idea ini. Kami hendakkan sesuatu yang menarik, lalu kami teringatkan seekor tikus yang kecil yang memiliki ciri-ciri gelagat Chaplin — si kecil yang sentiasa melakukan yang terbaik dengan sebaik mampu."

"Apabila orang tertawakan Mickey Mouse, ini kerana dia bersifat kemanusiaan; maka itulah rahsia popularitinya."

"Saya cuma berharap agar kita tidak lupa terhadap satu perkara — bahawa segalanya bermula kerana seekor tikus." — Walt Disney[1]

Plane Crazy

Mickey dan Minnie Mouse muncul buat julung kali bersama dalam filem kartun pendek Plane Crazy, pada 15 Mei 1928. Kartun ini diarah oleh Walt Disney dan Ub Iwerks. Iwerks juga ialah animator utama untuk filem ini, dan dilaporkan bahawa beliau mengambil masa enam minggu mengusahakan kartun ini. Sebenarnya, Iwerks ialah animator utama untuk setiap filem pendek Disney yang dikeluarkan pada tahun 1928 dan 1929. Hugh Harman dan Rudolf Ising turut membantu Disney ketika itu. Mereka sudah menandatangani kontrak bersama Charles Mintz yang meskipun begitu masih dalam proses membentuk studio baru beliau maka untuk sementara waktu mereka masih bekerja untuk Disney. Filem pendek ini merupakan kerja animasi terakhir mereka dalam situasi yang agak janggal ini.

Plot Plane Crazy agak ringkas. Mickey kelihatan cuba menjadi juruterbang dengan mencontohi Charles Lindbergh. Setelah membina kapal terbang sendiri, dia terus menjemput Minnie menyertainya untuk penerbangan pertama, di mana dia berkali-kali cuba mengucup Minnie dan gagal, lalu cuba lagi secara paksa. Minnie pun menerjun keluar dari kapal terbang. Mickey yang memerhati Minnie hilang kawalan kapal terbangnya. Dari detik itulah bermulanya penerbangan luar kawalan yang menyebabkan situasi melucukan berturut-turut dan akhirnya kapal terbang terhempas.

Mickey dalam Plane Crazy bersifat nakal, berahi, dan kelihatan jahat oleh ramai orang. Bagaimanapun, apabila julung kali dikeluarkan, Plane Crazy kelihatan gagal menarik hati penonton, dan lebih buruk lagi, Walt tidak dapat mencari pengedar. Meskipun jelas kecewa, Walt terus membikin filem pendek Mickey yang seterusnya: The Gallopin' Gaucho.

Rujukan

WikiPedia: Mickey_Mouse http://www.melbourne.vic.gov.au/rsrc/PDFs/Moomba/H... http://www.bcdb.com/bcdb/cartoon.cgi?film=15&m=r http://disney.go.com/disneyatoz/familymuseum/exhib... http://disney.go.com/disneyatoz/familymuseum/exhib... http://forums.goldenagecartoons.com/showthread.php... http://www.islandnet.com/~kpolsson/disnehis/disn19... http://www.justdisney.com/walt_disney/quotes/index... http://www.theoriginof.com/mickey-mouse.html http://www.toonopedia.com/mickey.htm http://www.toontracker.com/felix/felix.htm